Saturday 26 December 2015

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2015

23 Ogos 2015

SK Lepau telah menganjurkan Minggu Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah bagi sesi 2015. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh GPK 1, Pn. Zarina bte Jaafar.

Majlis dimulakan dengan menyanyikan lagu kebangsaan sambil menaikkan Jalur Gemilang.

Pn. Maizura bte Ishak selaku penyelaras program telah memberikan penerangan tentang erti kemerdekaan.

GPK 1, Pn. Zarina bte Jaafar telah merasmikan majlis pelancaran bulan kemerdekaan.

Gimik perasmian telah dilakukan bagi memeriahkan majlis.

Program Qiraat 7 Peringkat Zon Pengerang

22 Ogos 2015

Program ini telah disertai oleh 5 buah sekolah iaitu SK Lepau, SK Bandar Penawar, SK Bandar Penawar 2, SK Pengerang, dan SK Tg. Pengelih. Pihak sekolah telah menjemput Ustaz Abu Bakar bin Hussein dari SK Bukit Soga, Batu Pahat sebagai penceramah. Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang al-Quran telah menerangkan teknik-teknik taranum al-Quran. Pelbagai input telah diberikan berdasarkan pengalaman sedia ada yang dimilikinya.

Ustaz Abu Bakar sedang memberikan ceramah berkaitan dengan Qiraat 7.

Murid-murid mendengar penerangan yang diberikan oleh penceramah.

Murid-murid melakukan aktiviti dalam kumpulan.

Setiap kumpulan telah dibimbing oleh seorang fasilitator yang terdiri daripada ustaz-ustaz dari sekolah-sekolah sekitar.

Program Bijak Maklumat

19 Ogos 2015

Program ini telah dianjurkan oleh kebitaraan Sains bagi menguji tahap kecekapan dan kecerdasan murid-murid SK Lepau dalam menyelesaikan masalah yang berunsurkan sains. Program ini melibatkan murid secara holistik dan murid-murid dibahagikan kepada dua kumpulan. Pemenang bagi program ini ditentukan menerusi pungutan markah terkumpul tertinggi dalam keseluruhan aktiviti yang dianjurkan.

Cikgu Arsyad memberikan arahan kepada murid-murid sebelum berlangsungnya program.

Murid-murid bersedia untuk memulakan cabaran yang pertama.

Murid-murid bekerjasama menyelesaikan soalan yang diberikan.

Murid bekerjasama dalam kumpulan untuk menyiapkan projek yang diberikan.

GPK 1 SK Lepau, Pn. Zarina bte Jaafar menyampaikan hadiah kepada pemenang.


Gotong-royong Membersihkan Masjid Jamek Kampung Lepau.

12 Ogos 2015

SK Lepau telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Jamek Kampung Lepau. Program ini adalah di bawah seliaan Pn. Maizura selaku penyelaras Badan Beruniform TKRS. Semua guru dan murid terlibat secara langsung dalam program ini.

Guru-guru meninjau kawasan luar masjid sebelum memulakan gotong-royong.

Murid-murid perempuan membersihkan grill tingkap masjid.

Penduduk kampung mengelap mimbar masjid.

Ustaz Abdul Hadi dan murid-murid membersihkan jam masjid.

Murid-murid menikmati juadah yang disediakan oleh pihak masjid.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Lepau 2015

9 Ogos 2015

Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diadakan di SK Lepau. Sambutan ini disertai oleh seluruh warga SK Lepau dan penduduk kampung Lepau. Pelbagai juadah telah disediakan oleh pihak sekolah dan penduduk setempat bagi memeriahkan lagi suasana sambutan ini.

Guru-guru dan staf sokongan SK Lepau bergambar bersama-sama.

Ustaz Abdul Hadi telah memulakan majlis dengan bacaan doa.

Murid-murid membuat persembahan nyanyian nasyid.

Guru-guru dan penduduk kampung menonton persembahan.

Murid-murid ceria sepanjang perjalanan majlis sambutan hari raya.



Bengkel Pemantapan al-Quran

5 Ogos 2015

SK Lepau telah mengadakan Bengkel Pemantapan al-Quran khusus untuk memantapkan lagi penghayatan guru-guru dan murid-murid SK Lepau dalam bidang al-Quran. Pihak sekolah telah melantik Ustaz Syafiq yang berkhidmat di SJKC Tai Sin sebagai penceramah program ini.

Ustaz Syafiq tekun memberikan penerangan kepada murid-murid.

Murid-murid dan guru-guru mendengar penerangan sambil mencatat nota.

Ustaz Abdul Hadi selaku penyelaras program sedang mengacarakan program.

Ustazah Nazraton Aiedah telah memberikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada penceramah.

Sunday 8 March 2015

Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Zon Pengerang 2015

8 Mac 2015

SK Lepau telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah al-Quran Zon Pengerang 2015. Walau bagaimanapun, SK Lepau tidak mampu melaksanakan program ini tanpa bantuan SK Tanjung Pengelih dan SK Pengerang kerana SK Lepau tidak mempunyai bilik darjah dan bilik khas yang strategik untuk menempatkan ke tujuh-tujuh acara dalam satu masa. SK Tanjung Pengelih telah menjalankan pertandingan tilawah al-Quran, nasyid, hafazan, dan tulisan khat manakala SK Pengerang pula telah menjalankan pertandingan berzanji, bercerita, dan kuiz. Sekalung penghargaan ingin kami berikan kepada kedua-dua sekolah ini kerana memberikan bantuan daripada segala aspek termasuklah kemudahan dan persiapan tempat, keselamatan, peralatan dan perkakasan, serta sumbangan tenaga yang tidak mampu kami balas dalam bentuk wang ringgit. MTQ ini telah berlangsung dengan gilang-gemilang.

Pertandingan hafazan sedang rancak diadakan.

Murid-murid SK LKTP Kledang bersemangat mendendangkan nyanyian nasyid.

Peserta pertandingan bercerita sedang asyik menyampaikan cerita 
tentang kisah Nabi Yusof.

Barisan hakim yang arif lagi bijaksana sedang menilai peserta.

Barisan pentadbir, guru, dan murid sekolah rendah zon Pengerang.

Adik Muhammad Amiru Rasyid mendapat tempat kedua dalam 
pertandingan tilawah al-Quran kategori lelaki.

Adik Nur Fatin Darwisyah mendapat tempat kedua dalam 
pertandingan tilawah al-Quran kategori perempuan.

Adik Mohd Jazrul mendapat tempat ketiga dalam 
pertandingan berzanji kategori lelaki.

SK Sungai Rengit telah menjuarai pertandingan nasyid.

Wednesday 4 March 2015

Pelancaran Minggu Antidadah 2015

4 Mac 2015

Dadah adalah bahan atau kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Dadah selalunya digunakan oleh doktor bagi membolehkan seseorang individu berada pada keadaan separa sedar. Hal ini amat membahayakan nyawa dan diri seseorang sekiranya diambil tanpa pengetahuan doktor apatah lagi jika mengalami ketagihan dadah.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha bersungguh-sungguh dalam membanteras gejala yang tidak bermoral ini. Pihak sekolah telah diminta untuk menjalankan pendedahan antidadah ini bagi memupuk semangat benci akan dadah seawal bangku persekolahan peringkat rendah lagi.

Pelancaran program Minggu Antidadah 2015 ini telah dirasmikan oleh GPK 1 SK Lepau, Pn. Zarina bte Jaafar dan pelancaran program ini berlangsung dengan gilang-gemilang.

Pn. Hanani bte Ishak telah memimpin senamrobik bagi memulakan majlis pelancaran program ini.

Ustaz Abdul Hadi bin Harun telah memimpin bacaan doa.

Murid Tahun 5 Dedikasi, Arieff Hazeeq bin Azhar telah memimpin bacaan ikrar sempena Minggu Antidadah 2015.

GPK Koko, En. Mohd Azizi bin Idris telah memasang tag Minggu Antidadah 2015 
pada baju semua murid SK Lepau.

GPK 1, Pn. Zarina bte. Jaafar telah merasmikan pelancaran Minggu Antidadah 2015 sambil diiringi En, Mohd Azizi bin Idris.

Murid-murid SK Lepau bergambar setelah tamat majlis pelancaran program ini.

Pelancaran Program NILAM

1 Mac 2015

NILAM membawa maksud Nadi Ilmu Amalan Membaca. Program ini wajib dijalankan di semua sekolah di seluruh Malaysia. SK Lepau tidak terlepas daripada menjalankan program ini. Guru Pusat Sumber iaitu Puan Rabiatuladawiyah binti Mohd Hairi telah mengorak langkah menjalankan pelancaran program ini. Pelancaran program ini telah dirasmikan oleh GPK HEM SK Lepau, Pn. Nazraton Aiedah bte Isa.

Pn. Rabiatul memberikan sedikit input berkaitan NILAM.

Dua orang murid Tahun 3 Cekal telah membuat persembahan bacaan buku cerita 
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai simbolik program NILAM.

Pn. Nazraton selaku wakil pihak pentadbir telah merasmikan program ini.

Potongan belon yang tertulis NILAM telah dilakukan sebagai gimik pelancaran program ini.

Sunday 15 February 2015

Program Aku Janji Murid-murid Tahun 6 & Mentor-Mentee

15 Februari 2015
Program aku janji dan mentor-mentee ini telah berlangsung pada pukul 10.30 pagi bertempat di Balai Raya Kampung Lepau. Semua ibu bapa telah terlibat secara langsung dalam program ini. Ibu bapa telag diberikan mandat oleh pihak sekolah untuk membacakan teks diikuti oleh anak mereka. Hal ini bertujuan untuk memberikan sokongan yang padu kepada murid untuk terus berusaha hingga ke ketitisan darah terakhir mereka. Program ini telah tamat pada pukul 1 tengah hari.

Ibu bapa menjamu selera sebelum bermulanya program ini.

Semua bu bapa dan guru-guru menerima buku program yang diedarkan oleh seorang guru.

Program ini dimulakan.

Bapa murid membacakan aku janji sambil berjabat tangan dengan guru mentor kepada anaknya.

Semua guru berikrar untuk sentiasa komited dalam mendidik semua murid SK Lepau.

Tuan Guru Besar SK Lepau menganugerahkan sijil penghargaan kepada semua guru atas keringat yang telah dicurahkan sepanjang tahun 2014.

Sesi fotografi antara pihak sekolah dengan ibu bapa.